Monday, May 9, 2011

Kursus Authorised Entrant & Standby Person For Confined Space Oleh National Institute Of Occupational Safety And Health(NIOSH)

PULAPA JENGKA : Pada 1 September hingga 2 September 2010, seramai 14 orang pegawai dan kakitangan Pusat Latihan Pertahanan Awam (PULAPA) Jengka telah menghadiri Kursus Authorised Entrant And Standby Person For Confined Space yang telah disampaikan oleh National Institute of Occupational Safety And Health (NIOSH). Kursus tersebut diadakan bagi memantapkan lagi kursus Confined Space di PULAPA Jengka. Modul kursus tersebut adalah bagi menyediakan prosedur dan latihan kerja yang selamat untuk mencegah hazard semasa memasuki dan bekerja di dalam ruangan terkurung (Confined Space).

Antara modul kursus yang dipelajari ialah Pengenalan dan peraturan berkaitan Confined space, hazard-hazard yang terdapat di dalam Confined space, Alat Perlindungan Peribadi (PPE), dan prosedur untuk memasuki Confined space. Penceramah kursus ialah En. Ir Daud Bin Sulaiman, Pengurus Kanan Jabatan Latihan Pengajian Tinggi NIOSH yang juga merupakan bekas Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Negeri Sarawak selama lebih 20 tahun. Beliau sangat berpengalaman berkait dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan beliau juga merupakan antara tenaga pengajar utama NIOSH bagi kursus-kursus yang diadakan.

Pada hari kedua kursus, peserta kursus menjalani sesi latihan praktikal dan ujian lisan di kawasan latihan Confined space PULAPA Jengka. En. Mohd Ezani Bin Ibrahim dan En. Asrul Amri Bin Ismail mengambil alih sesi praktikal yang dilangsungkan pada sebelah pagi. Para peserta diajar tentang prosedur menyelamat dan cara-cara menggunakan Alat pelindungan peribadi semasa berada dalam kawasan terkurung (confined space). Ujian MCQ iaitu ujian objektif yang mengandungi 20 soalan  dilangsungkan pada pukul 12.30 tengahari.

Majlis penutupan kursus dilangsungkan di Dewan Gemilang selepas jamuan berbuka puasa memandangkan kursus tersebut dilangsungkan pada bulan ramadhan. Majlis tersebut telah dihadiri oleh tuan Komandan, timbalan Komandan, Pegawai-pegawai dan kakitangan PULAPA Jengka. Komandan PULAPA Jengka, Lt. Kol. (PA) Md Anuar Bin Jasmin dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak NIOSH yang sudi bekerjasama dengan PULAPA Jengka. Beliau menyeru pegawai dan kakitangan PULAPA Jengka menggunakan pengetahuan yang telah diperolehi bagi memantapkan lagi latihan Confined space di PULAPA Jengka agar kualiti dan penyampaian kursus berada di tahap yang tinggi lebih-lebih lagi PULAPA Jengka turut terlibat dengan Projek Inovasi KDN bagi struktur latihan menyelamat di ruangan terhad (confined space). Beliau juga akan berbincang dengan pengurusan tertinggi bagi membolehkan peserta-peserta kursus dapat menjalani kursus lanjutan bersama dengan pihak NIOSH iaitu kursus Authorised Gas Tester and Entry Supervisor for Confined Space. En. Ezani Bin Ibrahim, wakil NIOSH dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pihak PULAPA Jengka yang sudi menjalinkan kerjasama dengan pihak NIOSH. Beliau memuji keindahan dan kebersihan di PULAPA Jengka dan berharap PULAPA Jengka mengamalkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam apa jua kursus dan aktiviti yang dijalankan.

No comments:

Post a Comment